Dipetik dari HARIAN KOSMO
Sesetengah upacara penamatan latihan senibela diri tomoi disudahkan
dengan ritual menyuap pulut ke mulut penuntut. Pulut itu adakalanya
hadir dengan ‘kuasa’ warisan yang akhirnya memakan diri.
"SAYA sering gelisah. Pada waktu malam, jantung berdebar kuat dan badan
menjadi panas. Dalam keadaan itu, perkara kecil pun boleh buat saya
naik angin. Saya sedar saya semakin menjadi seorang yang pemarah," ujar
lelaki yang hanya mahu dikenali sebagai Kamal, 36.
Pernah satu ketika hentakan siku dan lengan singgah di badan seorang
pelayan restoran hanya kerana pelayan itu tanpa sengaja tertumpahkan
kuah sup panas di belakang tubuh Kamal. Pelayan lelaki itu terjelepok
ke lantai. Kecoh jadinya!
"Mujur isteri saya mententeramkan keadaan. Rayuan isteri buat saya
kembali berfikir serta segera meminta maaf kepada lelaki itu. Malah,
saya mahu membawanya ke klinik untuk dirawat jika ada kecederaan,"
imbasnya yang bernasib baik kes tersebut tidak dilanjutkan ke pihak
berkuasa.
Pertemuan dengan Jurnal turut ditemani isterinya, Zalifah. Atas
menghormati permintaan, mereka hanya mahu berkongsi cerita tanpa perlu
gambar mereka diambil.
Walaupun Kamal mengakui dirinya cenderung untuk mengamuk, jauh dalam
hatinya dia sedar bahawa perbuatannya itu salah. Namun, dia sering
gagal mengawal perasaan itu.
Kisah sepak terajang di restoran itu adalah salah satu daripada banyak contoh Kamal melepaskan sikap panas barannya.
Baginya, sebarang perkara yang mengejutkan emosi dan fizikalnya umpama
satu ancaman buat diri dan keluarga. Semangat pahlawan yang muncul
entah dari mana mempengaruhinya agar bertindak!
"Pendek kata, saya pantang dicabar atau dikejutkan dengan sesuatu.
Dalam fikiran hanya satu matlamat iaitu untuk menumpaskan lawan,
walaupun saya sebenarnya bukan di gelanggang," kata Kamal yang
berloghat Pantai Timur.
Kamal mengakui bahawa dia pernah mempelajari seni bela diri muay thai
atau tomoi di kampungnya yang berjiran dengan tanah Siam. Selama lima
tahun dia patuh pada tunjuk ajar jurulatihnya yang juga berasal dari
seberang sempadan itu.
Seingat Kamal, dialah yang paling gagah di kem tomoi yang disertainya.
Ramai lawan mudah ditewaskan di gelanggang. Dalam latihan, sudah banyak
batang pokok yang patah-riuk hanya dengan tendangan menggunakan tulang
keting. Rasa sakit pula hanya sekejap.
Kamal menjadi orang kesayangan jurulatihnya lantaran sering membawa pulang trofi kejuaraan.
Tanpa berasa hairan tentang tenaga tubuhnya yang tidak mudah surut
ketika bertarung, Kamal tidak pula mencurigai tentang perkara-perkara
lain.
"Tiga tahun lalu, saya telah berkahwin dan berpindah ke Kuala Lumpur
kerana menerima tawaran berkhidmat dengan sebuah pasukan keselamatan.
Mengetahui hal itu, jurulatih saya di kampung segera menganjurkan
upacara penamatan latihan tomoi.
"Katanya, sebagai satu majlis penghargaan. Antara lain, saya disuapkan
pulut kuning olehnya," kata Kamal yang menyangkakan itu hanyalah ritual
biasa.
Menurutnya, kesibukan tugas di Kuala Lumpur tidak memberi peluang
kepadanya berlatih tomoi seperti selalu. Lama-kelamaan, bermulalah
perubahan ketara dalam dirinya.
"Saya malas bersembahyang dan sering merancang untuk membuat perkara
yang tidak elok. Saya bercakap besar dan suka mencari gaduh.
Tanggungjawab pada Tuhan dilupakan, apatah lagi tanggungjawab pada
keluarga.
"Di mana-mana pun, pasti ada yang cedera saya kerjakan. Saya rasa puas
bila tengok orang yang dibelasah meminta dikasihani," terangnya yang
hampir kehilangan kerja kerana sikapnya itu.
Jauh dalam hatinya, Kamal sedar betapa sudah ramai yang menjadi mangsa
amarahnya. Isterinya juga tidak terkecuali. Hinggalah akhirnya
kesulitan dan kecelaruan perilaku itu sampai ke pengetahuan seorang
ustaz yang sudi membantu Kamal. Itupun atas inisiatif rahsia
teman-teman sekerja Kamal.
"Ketika bertentang mata, suami saya seperti amat berdendam pada ustaz
itu. Dia serta-merta menceceh dalam bahasa Siam dan kemudian membuka
buah (langkah) tomoi. Saya seperti tak percaya apa yang dilihat dengan
mata sendiri," kata Zalifah yang turut merancang pertemuan itu dalam
senyap.
Enam orang yang berbadan sasa, menurut Zalifah, diperlukan untuk
menandingi kekuatan Kamal yang terbit mendadak. Rancak berasak dan
bergelut, disertai tekanan ilmu penawar dari ustaz itu, Kamal akhirnya
memuntahkan sesuatu.
"Dia tak henti menjerit dan mendengus berat saat direbahkan
beramai-ramai. Macam lembu korban, perlahan-lahan dia hilang tenaga dan
tidak melawan," kata Zalifah.
TANPA disertai ritual syirik, tomoi sudah cukup sifatnya sebagai jurus
seni bela diri yang menyeronokkan dan menyihatkan fizikal.
"Saya betul-betul tidak sedar apa yang berlaku sepanjang tempoh itu.
Saya cuma rasa tubuh semakin lemah, seperti bertarung berjam-jam
lamanya dengan lawan yang sangat kuat," ujar Kamal yang mengakui
fikirannya lebih tenang selepas mengikuti siri rawatan bersama ustaz
tersebut.
Apabila dikenangkan semula, Kamal teringat tentang hidangan makanan,
air mandian wangi dari kolah dan mangkuk tembaga yang diletakkan di
sisi kiri dan kanan tempat tidurnya di kem tomoi di kampungnya dahulu.
Semua itu disediakan jurulatihnya.
Kamal sempat berpesan, kalau ada sesiapa yang mewarisi ilmu muay thai
atau tomoi dan sedang berbangga dengan kemahiran yang ada agar
berwaspada dengan perubahan diri. Ilmu kebatinan pasti meminta
'pulangan' daripada tuannya.
"Apa yang dimuntahkan?" tanya saya kepada Kamal.
"Awak tak akan percaya. Benda yang dimuntahkan itu kelihatan seperti
gumpalan pulut. Sama seperti yang saya makan bertahun-tahun dahulu di
kem tomoi itu," jawabnya.